•9:10 PM
Bab 4
Mak cik Rosnah menangis tidak henti-henti sejak semalam. Dia begitu risau sekali tentang Ani. Dia tidak sangka Ani akan melakukan perkara ini. Dia ingat Ani akan patuh dengan kehendak dia. Mak Cik Rosnah ingat Ani sanggup berkorban untuk keluarga mereka. Rupa-rupanya Ani tidak mahu berkahwin dengan Zaril Ikhwan, sehingga dia sanggup lari meninggalkan mereka. Ke mana agaknya anak perempuannya itu menghilangkan dirinya? Makcik Rosnah juga begitu risau apa yang akan berlaku selepas ini. Macamana dia hendak membayar duit Puan Zainun? Di mana mereka akan tinggal selepas ini? Fikirannya betul-betul berkecamuk. Suaminya sudah beberapa hari tidak pulang ke rumah. Dia rasa begitu putus asa. Tiba-tiba pertama kali dalam hidupnya dia rasa kalah. Dia sudah habis ikhtiar.
Apa lagi yang boleh dia lakukan? Selama ini dia yang berusaha keras untuk menyelamatkan keluarganya. Suaminya hanya tahu menghabiskan duit sahaja, tidak pernah ambil berat tentang keluarganya langsung. Mak cik Rosnah kini sudah jemu berusaha dan terus berusaha. Hidupnya tidak masih sering dirundung malang. Dia dahulunya di lahirkan dalam keluarga yang senang. Pada suatu ketika dahulu, dia ialah seorang gadis Bandar yang lincah dan pintar. Tetapi oleh kerana terlalu cintakan pemuda yang kacak berasal dari Utara Tanah Air bernama Adnan, dia sanggup meninggalkan kesenangan hidupnya untuk bersama Adnan. Mereka akhirnya berkahwin dan mempunyai keluarga yang bahagia. Hidup mereka, walaupun sederhana tetapi cukup bahagia dan penuh dengan kasih sayang. Malangnya Makcik Rosnah hanya hanya merasa kebahagian berkeluarga itu hanya buat seketika. Semasa dia mengandungkan anak bungsonya Shafiq, Adnan mula berubah. Dia terpikat dengan seorang wanita yang telah mengikis habis duitnya. Akibatnya hidup mak cik Rosnah sekeluarga menjadi begitu sukar selepas itu. Adnan terus menerus melupakan tanggung jawabnya dan terus hanyut dalam hidup yang penuh dengan kemaksiatan. Mak cik Rosnah yang terpaksa bekerja keras untuk menyara keluarganya. Adnan sudah hilang maruah dirinya. Dia malas untuk bekerja. Dia biarkan sahaja dirinya hanyut dengan godaan hidup ini. Dia bergelumang dengan masalah perempuan dan tabiat berjudinya, membuat rumah tangga mereka porak peranda. Tetapi Mak cik Rosnah masih bersabar kerana terlalu sayangkan anak-anaknya. Mak cik Rosnah tidak mahu anak-anaknya hidup tanpa ayah mereka. Dia tidak pernah bersungut tentang suaminya kepada anak-anak dan tidak bergaduh dengan suami di hadapan anak-anak. Tetapi anak-anaknya yang pintar-pintar orangnya dengan sendiri tahu tentang keburukan perangai ayah mereka selama ini tetapi tidak berani memburukkan ayah mereka di hadapan Mak cik Rosnah. Ini adalah kerana Mak cik Rosnah tidak pernah berbuat perkara yang sama kepada anak-anaknya.
Akibatnya Mak cik Rosnah yang terpaksa bekerja keras untuk keluarga, demi untuk menjamin anak-anaknya ada tempat berlindung, ada makanan untuk mengalas perut, berpelajaran untuk menjamin masa depan mereka. Awal tahun ini Mak cik Rosnah rasa dia sudah hampir mencapai impian dan cita-citanya selama ini. Hasil kerja di bendang cukup untuk menampung mereka sekeluarga, hasil kebun juga membolehkan Mak cik Rosnah menabung sedikit demi sedikit. Hutang-hutangnya yang telah dilangsaikan sedikit demi sedikit kini tinggal sedikit sahaja lagi. Nia pula akan tamat belajar dan akan mula bekerja. Dengan ini besarlah harapan Mak cik Rosnah yang Nia pula akan membantu meringankan tanggungannya nanti. Mak cik Rosnah merasa sangat bersyukur dengan rezeki yang tuhan berikan. Bebanan yang ditanggungnya selama ini akan berakhir juga.
Tetapi belum sempat dia mengapai impiannya itu, tiba-tiba dia dikejutkan dengan berita yang sangat–sangat menyedihkan. Suaminya telah menggadaikan tanah tapak rumah dan tanah kebun getah dan kebun tanaman mereka untuk mendapatkan wang untuk membayar hutang judinya dan untuk memikat perempuan. Mak Cik Rosnah sangat sedih bila mendengar berita itu. Itu pun dia mendapat tahu mengenainya bila tauke Cina di mana Adnan mengadaikan tanah mereka itua datang dan memberitahunya kalau dia tidak tebus tanah itu juga, dia hanya akan bagi mereka masa tiga bulan sahaja lagi untuk berpindah dari situ. Fikiran Mak Cik Rosnah menjadi betul-betul buntu. Terkilan betul rasa hati Mak Cik Rosnah dengan suaminya.
Tiba-tiba jirannya Mak cik Siah telah datang mengunjunginya, mengusulkan cadangan yang boleh menyelamatkan keadaan. Mak Cik Siah bekerja sebagai pembantu rumah di rumah Puan Zainun. Puan Zainun sedang mencari calon isteri untuk cucunya Zaril Ikhwan. Puan Zainun minta Mak Cik Siah cari-carikan kalau ada gadis yang sanggup berkahwin dengan cucunya. Gadis itu tidak perlulah orang yang berpelajaran tinggi, tidak berkerja, tidak bercita-cita tinggi dan berpuas hati dengan menjadi seorang isteri yang baik. Kriteria penting yang Puan Zainun kehendaki ialah seorang yang tahu menguruskan rumah tangga dan menjaga suaminya. Cakap sahaja berapa jumlah wang hantaran, Puan Zainun sanggup berikan.
Mak Cik Rosnah agak pelik kenapa Puan Zainun bersusah payah hendak mencarikan calon isteri untuk cucunya. Tidak bolehkah cucunya mencari isterinya sendiri? Semestinya mereka yang berpelajaran tinggi dan berharta menjadi rebutan ramai gadis. Kemudian Mak cik Siah brbisik dengan Mak Cik Rosnah.
“Puan Zainun hendak carikan orang yang boleh menjaga cucunya itu. Cucunya itu namanya Zaril Ikhwan.”
“Kenapa dengan cucunya itu? Cacat ke? Setahu Nah, anak cucu Puan Zainun segak-segak belaka orangnya, pandai-pandai pulak tu.” Soal Mak Cik Rosnah agak pelik. Dia tidak pernah tahu pun ada cucu Puan Zainun yang cacat atau kurang upaya. Kadang-kala bila mereka berkumpul semasa balik semasa hari raya, Mak Cik Rosnah melihat kanak-kanak yang sihat dan cantik-cantik belaka bermain-main di halaman rumah Puan Zainun yang luas.
“Shhhh…. Cakap pelan-pelan sikit.” Kata Mak Cik Siah sambil memandang sekeliling mereka. Tidak ada sesiapa yang berada berhampiran dengan mereka yang akan mendengar perbualan mereka.
“Zaril Ikhwan bukan cacat Nah, pandai orangnya, Segak orangnya, belajar di luar negeri pulak tu. ” Kata Mak Cik Siah.
“Habis tu, kenapa dengan dia.”
“Dia kemalangan jalan raya, sudah hampir setahun setengah yang lalu.”
“Eh, iye ke. Kita tak tahu pun.”
“Memang dia ni jarang balik ke kampong. Emak bapanya duduk di luar Negara selalu. Siah pun jarang jumpa dengan mereka ni selama tiga tahun Kak Siah keja dengan Puan Zainun.”
“Dia kemalangan pun Kak Siah tak tahu ke?” Seingat Mak Cik Rosnah, Kak Siah tidak pernah sebut tentang cucu Puan Zainun yang ditimpa kemalangan.
“Iye. Kak Siah yang kerja di rumah Puan Zainun pun tak tahu Nah. baru 6 bulan yang lepas inilah Puan Zainun cerita pasal Zaril Ikhwan. Nah nak tahu tak? Dia tu tak sedar diri…. apa orang cakap koma…. hampir tiga bulan. Bila dia sedar, keadaan dia agak teruk. Kadang-kadang dia okay, kadang-kadang dia lupa. Kadang-kadang dia kena di ajar balik macamana hendak makan, pakai baju. Kadang-kadang semua bendalah kena ajar balik. Ada masa macam budak-budak balik. Ada masa dia ok, tapi dia sudah tidak boleh membaca dan lupa bagaimana hendak cakap orang putih. Padahal dia dulu sekolah pun kat Negara orang putih.”
“Kenapa pulak macam tu Kak Siah?
Puan Zainun kata, kemalangan yang dia alami tu menyebabkan sebahagian otaknya cedera sikit. Itu sebab dia jadi macam tu.”
“Kenapa dia duduk dengan Puan Zainun sekarang.”
“Emak bapanya asyik sibuk memanjang, Zaril Ikhwan perlu perhatian 24 jam. Sudah hampir 9 bulan selepas dia sedarkan dirinya tetapi keadaan tidak berubah. Macam-macam yang mereka telah lakukan. Macam-macam doctor yang mereka telah bawa untuk merawat Zaril Ikhwan tetapi tidak ada perubahan langsung. Lama kelamaan mereka sudah tidak sanggup hendak jaga dia. Mereka ni selalu pergi ke luar Negara. Adik-beradik yang lain pula semuanya sibuk dengan kerjalah, belajarlah. Tidak ada sesiapa yang sanggup menjaga dia. Ada masa, angin dia tidak betul dia naik angin, susah hendak kawal.
“Kesiannya, Bila dalam keadaan begini, adik beradik sendiri pun sudah putus asa.”
“Ada ura-ura hendak letakkan dia di rumah penjagaan aje. Masa tu Puan Zainun melenting. Kalau tak ada sesiapa yang sanggup jaga cucu dia, biar dia yang jaga. Itu sebab Zaril ikhwan di bawa balik ke kampong. Sudah hampir enam bulan dia duduk dengan Puan Zainun.”
“Iye ke Kak Siah. Kesian pulak. Nah tak tahu pun. Nah pun bukan pernah berbual rapat dengan Puan Zainun tu, Cuma bertegur sapa bila bertemu sahaja. Maklumlah siapalah Nah ni, dia tu tak sama taraf dengan kami.”
“Puan Zainun tu baik Nah, Cuma Nah tak kenal dia.”
“Jadi! Kalau sudah macam tu buat apa hendak kahwinkan Zaril Ikhwan tu.”
“Puan Zainun ni cekal orang dia. Sejak Zaril Ikhwan tinggal dengan dia, dia berusaha mendapat bantuan untuk cucunya itu. Bermacam doctor dan pakar yang dia bawa untuk merawat Zaril.
“Lepas tu buat apa hendak kahwinkan budak tu pulak.” Mak Cik Rosnah tidak berpuas hati dengan penjelasan Mak Cik Siah.
“Sejak akhir-akhir ini Puan Zainun sudah mula sakit-sakit. Dia sudah tua Nah, dekat tujuh puluh lima tahun. Dia risau sangat tentang Zaril Ikhwan. Kalau dia sudah tiada nanti siapa akan jaga cucu dia itu. Dia juga tidak mahu bahagian harta Zaril Ikhwan jatuh pada anak-anak dan cucu-cucu lain, kemudian hari hak Zaril Ikhwan tidak diperdulikan. Semasa dia masih hidup ini dia mahu menentukan hak dan Zaril Ikhwan terbela. Duit memang tak ada masalah. Tetapi duit tidak boleh menolong dia kali ini. Emak bapa dan saudara mara Zaril Ikhwan pun buat tak tahu, tak sanggup hendak jaga. Sekejap-sekejap bolehlah, kalau seumur hidup macamana? Zaril Ikhwan tu baru berumur dua puluh lima tahun. Siapa yang sanggup hendak menjaga dia? Sebab itu Puan Zainun hendak cari gadis yang tak ada cita-cita tinggi, tidak berpelajaran, tidak bekerja dengan harapan gadis itu boleh puas hati hanya dengan menjaga suaminya itu dengan baik. Tidak payah risau tentang makan, minum tempat tinggal sepanjang hidupnya. Duit bukan masalah. Puan Zainun sanggup bayar, Nah.”
Mak Cik Rosnah diam sambil berfikir panjang. “Mungkin ini satu jalan keluar dari kemelut yang dia sedang hadapi sekarang.?”
Mak Cik Siah datang untuk memberitahu Mak Cik Rosnah tentang hasrat Puan Zainun kerana Mak Cik Siah tahu masalah yang mereka hadapi. Walaupun Mak Cik Rosnah tidak pernah ceritakan keburukan suaminya, Mak Cik Siah boleh lihat dengan mata kepalanya sendiri bagaiman Mak Cik Rosnah bertungkus lumus membanting tulang sepanjang hari bagi mencari sumber pendapatan mereka sekeluarga dan bagaimana suaminya bersenang lenang setiap hari di rumah pada siang hari dan keluar berjudi setiap malam. Mak Cik Siah kesihankan Mak Cik Rosnah. Dia ingin cadangkan agar anak Mak Cik Siah, Ani dikahwinkan dengan Zaril Ikhwan. Semua kriteria yang dicari oleh Puan Zainun ada pada Ani Ayuni.
“Aku bukan apa Nah, bukan hendak menyibuk hal kau Nah. Walaupun kau tidak pernah mengadu nasib kau. Aku tahu kesusahan kau Nah. Aku sudah tahu pasal masalah tanah kau tu Nah. Mungkin ini peluang yang boleh kau ambil untuk selesaikan pasal masalah kau.
“Ini macam jual anak Kak Siah.”Kata Mak Cik Rosnah dengan perlahan.
“Bukan Nah, Kau perlukan duit itu, Puan Zainun perlukan seseorang untuk menjaga cucunya itu. Nasib Ani pun terjamin, dia tidak perlu risau lagi tentang masa depannya. Sudah terjamin Nah. Puan Zainun akan masukkan sejumlah wang lagi selepas ini untuk Ani supaya dia boleh menjaga Zaril Ikhwan sepanjang hidupnya. Begitu juga harta pusaka dan juga rumah yang mereka duduk itu akan ditukarkan ke nama Ani. Supaya anak-anak yang lain tidak boleh merampas hak Zaril Ikhwan. Isterinya yang menjaganya dan harap-harap anak-anaknya mereka pula nanti akan menjaga ayah mereka nanti. Syaratnya mereka tidak boleh bercerai. Kalau Ani minta cerai, namanya ke atas harta itu akan terbatal dan jatuh kepada anak mereka, kalau ada. Itu syarat yang Puan Zainun akan letakkan.
“Kak Siah rasa Ani boleh ke jadi isteri yang baik pada orang macam Zaril Ikhwan tu? Sanggup ke dia Kak Siah? Dia tak kenal pun orang tu.”
“Alah orang dulu-dulu pun kahwin tak kenal dulu pun. Kekal juga sampai sekarang. Kak Siah dulu kawin tak kenal juga dengan arwah suami Kak Siah tu. Mula-mula tak kenal, lama-lama sayang juga. Dapat anak sampai enam orang. Apa lagi Nah? Ani tidak bekerja, kalau dia kawin dengan Zaril Ikhwan, terjamin masa depan dia nanti. Nah pujuklah dia. Kalau dia setuju, Nah beritahu Kak Siah. Boleh Kak Siah bagi tahu Puan Zainun? Boleh kita uruskan cepat perkahwinan mereka.”
“Mak Cik Rosnah masih mendiamkan diri. Tidak pasti apakah tindakan paling baik yang dia perlu lakukan.
“Senang hidup dia nanti Nah. Kak Siah ni sudah tidak ada anak perempuan yang belum kawin, Tinggal tiga orang anak lelaki semua yang belum kawin. Kalau tidak Kak Siah suruh dia kawin dengan Zaril Ikhwan tu Nah. Terjamin masa depan. Kita pun boleh tumpang senang. Kak Siah pun penat juga asyik kerja sampai tua-tua macam ni, Nah.” Sambung Mak Cik Kak Siah dengan panjang lebar. Mak Cik Rosnah akui ada kebenaran dalam kata-kata Mak Cik Siah itu.
“Nah perlukan duit Siah untuk tebus tanah kami yang digadaikan oleh Adnan, dalam dua puluh lima ribu. Nah perlu sangat duit itu, kalau tidak kami kena keluar dari rumah ini.” Kata Mak Cik Rosnah akhirnya mengakui kesulitan yang dia hadapi selama ini. Mak Cik Siah rasa kesihan melihat wajah sedih jirannya itu. Mak Cik Rosnah lebih muda dari Mak Cik Siah tetapi wajahnya kelihatan lebih tua. Dari raut muka Mak Cik Rosnah, Mak Cik Siah rasa pada suatu masa dahulu Mak Cik Rosnah cantik orangnya dan menawan orangnya. Tetapi kerana tekanan hidup dan penderitaan dan penderaan mental yang dia alami selama ini telah memberi kesan ke atas wajahnya. Semua di sebabkan oleh suaminya
“Kak Siah tahu Nah dalam kesusahan, Nah. Sebab itu lepas Puan Zainun bagi tahu aku pasal cari jodoh untuk Zaril Ikhwan, Kak Siah terus datang sini. ” Ujar Mak Cik Siah. Terharu rasa Mak Cik Rosnah dengan keperihatinan jirannya itu.
“Nanti Kak Siah cakap, Nah perlukan wang sebanyak itu dengan Puan Zainun. Mesti dia faham. Kita sama-sama bantu membantu, dia perlukan Ani, Nah perlukan wang.”
Bila diusulkan cadangan itu kepada Ani, Ani hanya mendiamkan diri. Mak Cik Rosnah merayu dengan Ani agar menerima cadangannya supaya Ani berkahwin dengan Zaril Ikhwan. Mak Cik Siah terpaksa menceritakan pada Ani tentang masalah mereka sebenarnya. Tentang hal tanah dan rumah mereka. Ani akhirnya menganguk dengan lemah sekali tanpa berkata apa-apa, cuma air mata mengalir perlahan-lahan. Ani tidak dapat menolak permintaan emaknya itu. Tidak sampai hati dia mendengar rayuan emaknya itu. Ani fikir dia sanggup melakukan pengorbanan sebesar itu demi keluarganya. Walaupun usianya yang masih terlalu muda, belum lagi mencecah dua puluh tahun, dia fikir bahunya boleh menanggung beban yang besar itu. Dia hendak dikawinkan dengan orang yang dia tidak kenal dan sedang sakit. Ani terpaksa mengabdikan dirinya untuk menjaga suaminya yang sakit itu sepanjang hidupnya. Demi keluarganya Ani terpaksa melakukannya.
Mak Cik Rosnah begitu lega bila Ani bersetuju. Selepas itu, semuanya berlaku dengan cepat sekali. Hanya dengan menerima kata-kata Mak Cik Siah, tanpa melihat Ani pun, Puan Zainun terus setuju, lantas masuk meminang Ani dan dengan segera memberikan sejumlah wang yang Mak Cik Rosnah minta untuk menebus tanah mereka yang tergadai.
Mak Cik Rosnah menjadi begitu lega sekali. Masalahnya sudah selesai. Tanah mereka dapat diselamatkan, mereka masih mempunyai tempat tinggal, masa depan Ani terjamin, dia tidak perlu risaukan tentang Ani. Nia Atirah sudah hampir habis belajar akan bekerja tidak lama lagi. Shahid sudah dalam tahun dua pengajiannya, beberapa tahun lagi dia akan tamat belajar dan bekerja. Syafiq pula akan mengambil peperiksaan SPM hujung tahun nanti. Selepas itu semua anak-anak sudah tamat persekolahan. Besar sungguh harapan Mak Cik Rosnah. Tidak sabar Mak Cik Rosnah menunggu saat di mana dia boleh bebas dari bebanan kewangan yang mencengkam keluarganya selama ini. Selepas ini mungkin dia boleh mula mengumpul wang sedikit demi sedikit supaya dia boleh pula menunaikan ibadat haji seperti kebanyakan rakan-rakannya yang lain.
Kini harapan nya itu hanya tinggal harapan. Ani sudah melarikan dirinya. Ani tidak sanggup membuat pengorbanan yang amat besar itu. Ani sudah ada pilihannya sendiri. Semua persiapan yang telah disediakan untuk perkahwinan Ani dan Zaril Ikhwan menjadi sia-sia sahaja. Perjanjian dengan Puan Zainun dengan sendirinya terbatal dan wang yang Mak Cik Rosnah telah ambil terpaksa di pulangkan. Tarikh mereka kena keluar dari rumah itu sudah tiba. Mak Cik Rosnah betul-betul terpukul kali ini. Dia begitu hilang semangat juangnya kali ini. Sudah habis ikhtiarnya untuk menyelamatkan tanah dan tempat berlindung untuk dirinya dan anak-anaknya.
Nia risau melihat keadaan emaknya. Sudah semalam-malaman dia berjaga di sini emak, emak menangis tanpa henti. Emak kelihatan begitu sedih sekali. Dia nampak macam berputus asa terus. Belum pernah Nia melihat emaknya dalam keadaan begini. Emak begitu kuat semangatnya, tidak pernah mengenal perkataan putus asa. Nia lihat emak kelihatan begitu pucat sekali wajahnya. Sepanjang hari emak tidak menjamah makanan. Dia baring sahaja di dalam biliknya, menangis sepanjang hari.
“Emak, jangan susah hati. Nanti kita cuba cari Ani.” Pujuk Nia sambil mengusap-usap bahu Mak cik Rosnah.
Mak Cik Rosnah mendiamkan dirinya, air matanya berlinangan di wajahnya.
“Emak, jangan macam ni emak. Nanti emak sakit.” Nia memegang bahu emaknya dan terus memujuk emaknya.
“Cuba emak cakap dengan Nia, mungkin Nia boleh tolong selesaikan masalah kita ni.”
“Macamana hendak tolong. Mana kita hendak cari dua puluh lima ribu ringgit dalam masa dua hari ini. Mana kita hendak pergi Nia. Hendak duduk mana, tumpang di masjid?”
“Biar Nia jumpa tauke gadai, kita minta tangguh. Nia akan cari kerja dengan segera.”
“Kalau Nia dapat kerja pun berapa banyak gaji Nia. Bukan sikit duit yang kita kena ganti tu Nia. Tauke gadai tu sudah cakap selepas ini tak ada tangguh-tangguh lagi. Puan Zainun mesti hendak duit dia balik. Mana emak hendak cari ni Nia.” Mak cik Rosnah makin kuat menangis dan menangis.
“Emak, sudahlah emak. Jangan menangis lagi. Mari kita makan ye mak. Nia sudah lapar ni.” Nia juga memujuk Mak Cik Rosnah, cuba mengalehkan perhatiannya dari masalah yang dialaminya.
“Nia, emak tak nak makan, Nia makanlah.”
Marilah emak, emak tak makan sejak pagi tadi. Nanti emak jatuh sakit.”
“Biarlah emak jatuh sakit. Biarlah emak mati…. Hu huuuu huhhh…. Apa lagi yang emak hendak buat, hidup emak hanya menyusahkan anak-anak emak sahaja. Buat apa emak hidup lagi…..”
“Emak, jangan cakap macam tu. Siapa kata emak menyusahkan kami. Kalau tidak ada emak, entah apalah yang akan terjadi pada kami semua. Emaklah yang menyebabkan kami jadi berjaya sampai macam ini. Jangan sekali-kali emak cakap macam tu. Nia tidak tahu bagaimana hendak membalas jasa emak selama ini. Seumur hidup Nia cuba pun, Nia tidak akan dapat balas jasa emak pada kami.”
“Emak gagal Nia, emak gagal. Emak sudah cuba dan mencuba untuk mengubah nasib keluarga kita tetapi emak gagal.” Kata Mak Cik Rosnah dengan begitu sedih sekali.
Nia duduk di atas katil lalu memeluk emaknya dengan erat sambil mengusap-usap belakang emak. Mereka lama duduk dalam keadaan begitu. Nia kemudiannya membaringkan emaknya di katil.
“Emak tidak gagal. Emaklah orang yang paling kuat dan tabah. Nia kagum dengan emak selama ini.”
“Emak susahkan anak-anak, tengok ni Ani sampai lari sebab emak paksa dia kawin dengan orang yang dia tidak suka. Kini hidup kita makin susah. Ayah Nia sudah tak tahu ke mana halanya. Dia tak ambil tahu pun pasal masalah kita.”
“Sabarlah emak, Sabar ye. Tentu ada rahmat disebalik ini. Kita doakan yang terbaik untuk kita semua. Emak rehat dulu, kejap lagi Nia bawakan emak nasi ye.” Pujuk Nia lagi.
“Emak tak nak makan. Nia pergi makan dulu. Biar emak tidur sekejap. Tolonglah Nia, biarkan emak sendiri.” Rayu Mak cik Rosnah.
“Baiklah emak.”
“Nia, Nia tolong bagitau Mak Cik Siah apa yang dah jadi. Dia kena bagitau Puan Zainun apa yang berlaku. Lepas tu emak tak taulah apa yang akan jadi.” Suaranya begitu sedih.
Nia menangis melihat keadaan Mak Cik Rosnah yang begitu lemah sekali. Dia takut mak cik Rosnah akan kalah terus dalam perjuangan hidupnya dan terus berputus asa. Nia juga risau kalau-kalau Mak Cik Rosnah akan buat sesuatu yang tidak baik ke atas dirinya. Nia sedih melihat keadaan emak. Cepat-cepat dia keluar dari bilik tidur Mak cik Rosnah, tidak mahu mak cik Rosnah nampak dia juga menangis. Nanti keadaan Mak Cik Rosnah akan jadi lebih teruk. Di ruang tamu, Shahid sedang duduk termenung sendirian. Dia kelihatan agak bingung dengan apa yang sedang berlaku.
“Shahid, Shahid makanlah dulu. Sudah dekat pukul empat petang ni. Shahid mesti lapar. Mana Shafiq?”
“Kakak tak hendak makan ke? Shafiq ada dalam bilik.”
“Kak Nia tak laparlah Shahid. Shahid makan ye, ajak Shafiq sekali. Kak Nia hendak keluar kejap, emak suruh pergi rumah Mak Cik Siah. Kejap lagi Kak Nia balik.”
“Kak Nia hendak buat apa pergi rumah Mak Cik Siah? Makanlah dulu.” Ajak Shahid.
“Emak suruh. Ada hal penting. Shahid makan dulu dengan Shafiq.” Kata Nia, mencapai tudung yang disangkut di belakang kerusi dan keluar dari pintu belakang untuk pergi ke rumah Mak Cik Siah.
“Macamana ni Nia, Bila jadi macam ni?”
“Kami tak sedar pun mak cik, Ani pergi ke kebun, hendak ambil duit jual pisang. Lepas tu tak balik-balik sampai senja. Shahid dan Shafiq pergi cari Ani di kebun. Nia tengok dalam bilik baju dia dah tak de. Kemudian Nia jumpa surat Ani. Dia lari dengan Sazali.”
“Masya Allah, Sazali anak Deris tu?”
“Iye, Mak Siah.”
“Dia dua orang tu kawan ke? Mak cik Siah tak tau pulak.”
“Kami pun tak tau Mak cik.”
“Kalau mak cik tau, taklah mak cik rekomen Ani tu kat Puan Zainun. Patutlah Ani tu Nampak macam tak seronok pun, lebih-lebih bila dah dekat-dekat nak kawin ni.”
“Habis macamana ni Mak Cik. Apa kita nak buat? Mak cik kena cakap dengan Puan Zainun tu.”
“Nak cakap apa? Pengantin perempuan sudah lari? Heiii macamana mak cik nak bagi tau Puan Zainun ni. Mesti dia kecewa sangat. Dia suka betul bila Ani setuju hari tu. Walaupun kecil-kecilan tapi da sudah buat persiapan juga tahu.”
“Nak buat macamana mak cik, bukan jodoh.”
“Susah mak cik hendak cakap ni dengan Puan Zainun. Habis tu duit yang Puan Zainun sudah beri hari tu macamana?”
“Kena pulangkanlah nak buat macamana lagi?” Jawab Nia Atirah
“Macamana hendak pulangkan Nia? Mak cik tau Nah sudah beri pada tauke gadai hari tu? Kalau minta balik, habis tu kau orang nak duduk mana?”
“Tak taulah mak cik.” Buntu fikiran Nia jadinya bila mendengar kata-kata Mak cik Siah.
“Kalau Puan Zainun paksa juga macamana? Dia sudah terdesak juga tu. Dia sudah banyak habis wang juga untuk membuat persiapan perkawinan ni. Baik-baik Puan Zainun, dalam hal ini dia akan berkira juga. Sebab dia berhajat sangat untuk jodohkan Zaril Ikhwan. Dia boleh saman keluarga Nia nanti. Minta bayar ganti rugi macamana?”
“Takkanlah Mak cik, mana kami hendak cari wang lagi.”
“Hei… budak Ani ni pun satu. Mana kita hendak cari dia? Susah betul.”
Apasal dia tu terdesak sangat hendak kawinkan cucu dia. Cucu dia tak ada pilihan sendiri ke?”
“Eh! Nia tak tahu ke pasal Zaril Ikhwan? Ani dengan emak Nia tak cerita ke?”
“Cerita pasal ape?” Soal Nia.
“Tak pelah. Tak ada apa-apa….ummmm emak Nia macamana?”
“Teruk Mak cik, dia asyik menangis sejak semalam lagi. Sampai sekarang dia dok susah hati. Tak mahu makan, tak mahu minum. Nia risau, dia tak pernah tengok emak macam ni. Dia macam putus asa betul. Dia kata, biar dia sakit, dia hendak mati. Emak mana pernah macam tu mak cik.”
“Kesihan betul mak cik dengar pasal nah ni. Kalau bukan sebab ayah Nia, dia tidak akan susah macam ni. Si Rosnah tu kerja kuat membanting tulang setiap hari. Nia tahu tak macamana emak Nia tu kerja kuat untuk bagi kau orang semua pelajaran.”
“Nia sedar mak cik. Tak terbalas Nia atas pengorbanan emaak selama ini.”
“Dia sudah tua Nia, Bukan larat dia hendak kerja kuat lagi. Dia sudah berangan-angan, selepas Ani kawin, Nia pulah sudah kerja, bolehlah dia berehat sikit. Legalah dia sikit. Sekarang ni dia kena kerja lebih teruk, tanah sendiri sudah tak ada.”
“Nia boleh tanggung beban tu mak cik. Bila Nia dapat kerja Nia akan bawa adik dan emak tinggal dengan Nia.”
“Itu bila Nia dapat kerja? Sementara tu macamana? Kau orang sudah kena keluar dari tanah tu. Kalau hendak, tumpang rumah mak cik lah? Tapi rumah mak cik ni kecil sikit. Anak-anak lelaki mak cik ramai.”
“Nia mesti cari jalan untuk selamatkan keadaan mak cik. Nia mesti buat sesuatu. Kesihan dengan emak.”
.“Mak cik pun susah. Silap-silap Puan Zainun marah dengan mak cik. Ini semua mak cik yang aturkan. Takut makcik kena buang kerja.”
“Iye ke makcik. Macamana kita boleh selesaikan masalah ini mak cik. Sekarang ini bukan kami sahaja, mak cik Siah juga jadi susah. Apa yang Nia boleh buat.? ” Soal Nia, sudah tidak senang hati. “Emak pulak langsung tidak berdaya lagi.”
Mak cik Siah termenung tidak berkata-kata apa-apa buat seketika, kemudian dia bertanya, “Kau betul hendak tolong Nia?”
Nia mengangguk kepalanya.
“Nia kena ganti tempat Ani.”
“Hah! Nia ganti tempat Ani? Mana boleh? Apa kata dia Puan Zainun? Takkan kita hendak tukar-tukar senang-senang, Ani tu pilihan Puan Zainun. Mesti Puan Zainun pilih Ani sebab Ani cantik. Nia bukan macam Ani. Nia biasa sahaja.”
“Sebenarnya yang Puan Zainun belum pernah lihat wajah Ani pun. Bila Mak Cik bagitahu dia tentang Ani, yang Ani setuju kawin dengan Zaril Ikhwan. Puan Zainun terus setuju aje. Puan Zainun hanya mahu seorang gadis untuk dikahwinkan dengan Zaril Ikhwan, Dan Dia hendak semuanya disegerakan. Minggu depan lawyer akan datang untuk sain dokumen tau.”
“Mak Cik…. apa kata Zaril Ikhwan, Senang-senang hendak tukar macam beli baju. Tidak mungkin Zaril Ikhwan hendak terima Nia, Ani tu cantik, tidak macam Nia.”
Mak Siah memandang wajah yang tulus di hadapannya itu, dia akui Nia Atirah tidak mempunyai kejelitaan yang terserlah seperti Ani. Tetapi bila dipandang-pandang lama-lama, manis juga wajah Nia Atirah. Memang diakui bahawa Nia Atirah bukan mempunyai susuk tubuh menawan seperti Ani Ayuni, dia nampak agak kurus dan cengkung sedikit. Mungkin terlalu sibuk belajar. Tetapi pada pendapat Mak Cik Siah, itu bukan menjadi menjadi ukuran pada Puan Zainun, apatah lagi Zaril Ikhwan. Soalnya sekarang, perkahwinan Zaril Ikhwan mesti di teruskan segera. Puan Zainun sudah dengar ura-ura di kalangan anak-anaknya yang mahu pembahagian harta di buat dan mereka tidak mahu harta Puan Zainun di serahkan semuanya kepada Zaril Ikhwan. Mereka tidak setuju kerana Zaril Ikhwan sudah tidak boleh berfungis sebagai manusia dewasa. Pada mereka, Zaril Ikhwan sudah jadi sayur, yang lembik dan tidak bermaya lagi. Mak Cik Siah rasa Puan Zainun tidak akan banyak karenah dalam hal siapa yang akan kawin dengan cucunya, Ani atau Nia. Asalkan gadis itu seorang yang baik dan sanggup menjaga cucunya.
“Mak Cik rasa perkara itu tidak akan jadi masalah. Kalau Puan Zainun setuju, cukuplah.”
“Pelik juga, Zaril Ikhwan ni Mak Cik Siah. Semua dia serahkan pada Puan Zainun.”
“Dia kan tidak berapa sihat sekarang ni.” Terang Mak Cik Siah. “Emak Nia tidak cakap apa-apa ke pasal keadaan Zaril Ikhwan.
“Tak ada apa-apa pun. Apa sebenarnya ni Mak Cik?”
“Tak ada apa-apa. Kalau hendak tahu, tanyalah emak Nia.” Mak Cik Siah tidak mahu berkata banyak lagi. Apa pun dia mesti memujuk Nia supaya mengambil tempat Ani. “Apa kata besok mak cik jumpa Puan Zainun, terangkan apa yang berlaku. Kalau puan Zainun setuju, Nia ganti tempat Ani, masalah kita semua akan selesai.”
Ternganga Nia dibuatnya. Begitu mudah sekali mereka bertukar tempat. Ini macam main-main sahaja.
“Nia setuju tak?”
“Nia…Nia… ummmm Mak cik, susahlah mak cik…”
“Kalau Nia tak setuju, macamana ni. Tadi kata hendak tolong keluarga Nia dan mak cik.”
“Ummmm ummmm Bagi masa untuk Nia fikir dulu.
“Tak ada masa dah Nia, Kenduri tu tinggal sebulan sahaja lagi.”
“E….esok… Esok Nia beri keputusan.”
“Baik, Nia fikir baik-baik…. Ini sajalah peluang Nia untuk tolong emak Nia.
2 comments:
Bestnya ..sbg lagi alina x sabar dah ni
sambung cepat2 cerita awak semua best